Ni bab 1 die.. (Kak Rehan,, pinjam yee)
*peringatan! ni hak cipta terpelihara kak rehan tau
Tiba-tiba, Dia Ada 1
BAB 1
BELAKANG TANGAN dah jamah dahi. Okey, panas. Aku demam. Hidung mula rasa ketat. Tersumbat.
Ohmai...
Macam mana nak pergi kerja esok? Papa bukan boleh kalau aku ponteng. Katanya sebab baru kerja. Nanti orang cakap papa guna kuasa veto masukkan aku kat syarikat. Biarpun nenek kata, satu hari nanti kami-kami juga yang akan uruskan syarikat tu bila papa bersara.
Nak tak nak, esok kena dapatkan medical leave bila aku tak henti-henti bersin. Semalam tak hujan pun tapi panasnya, tak terkata. Semalam seharian melepak dekat tapak projek dengan Aryan, adik lelaki aku. Balik saja muka dah terbakar. Usah kata muka, hati lagilah terbakar.
Mata dah mula rasa berat. Sikit lagi nak tertutup penangan panadol tadi. Rasa bagai ada kaki yang dok pijak-pijak kelopak mata nak bagi pejam. Aku tarik bantal peluk. Baru saja nak mengiring ke kanan, aku dengar pintu diketuk sekali dan krekk... terus ditolak daripada luar tanpa izin pulak tu.
Ohmai...
Siapa pulak ni? Aku buka mata dan tengok siapa. Ternyata, wajah mama muncul, tersenyum dan mendekati birai katil. Tersengih kemudiannya dan dah kenapa pulak mama ni?
“Mama ni kenapa?” Senada aku menyoal.
“Yang Arya ni kenapa pulak? Demam?” Tangan mama dan ringan menyentuh dahi aku.
Tak dan nak tepis dah singgah dulu dan kening mama terangkat tinggi matanya menjeling air mineral yang sudah separuh aku teguk dan juga sarung panadol yang kosong.
“Sikit je.”
“Sikit apa macam ni panas? Macam mana nak ikut papa pergi meeting esok?” soal mama.
Aku bulatkan mulut. Konon terkejut padahal papa dah pesan siang tadi pada Aryan. Cakap dekat Kak Arya, esok papa ajak meeting. Pergi dari rumah. Naik kereta papa. Jangan bawa kereta sendiri.
Huh...
“Arya sakit kepala ni, ma... cakap dekat papa ajak Aryan boleh tak?”
Mama diam lama. Dia pandang aku dan aku jeling dia. Lama-lama mama senyum dan mengangguk sambil membelai kepala aku.
“Nantilah mama cakap dekat papa. Arya tidurlah. Kalau kata tak tahan nanti, panggil mama. Kita ke klinik,” pesan mama seraya bangkit.
Dia senyum lagi.
Mama aku? Nama dia Anahara. Pelik kan nama dia tapi pada aku sangat unik. Anahara binti Rahman. Seorang penulis. Cantiknya tak kurang malah semakin bertambah. Sekarang dah berumur tetap lembut dan anggun bergaya.
“Arya nak makan bubur tak? Mama masak,” pelawa mama tiba-tiba.
Aku tersentak. Baru rasa nak amati wajah mama betul-betul. Rasanya Aryan ikut muka mama. Aku lebih pada muka papa. Putih, bujur sirih dan perengus sedikit. Macam papa.
“Tak naklah...” Aku bergolek ke kiri membelakangi mama.
“Mama kunci pintu, ya. Arya nak tidur awal sikit...” sambung aku.
“Iyalah...” sahut mama dan aku dengar daun pintu rapat kembali.
Aku bukan apa tak nak pandang mama lama-lama. Tiba-tiba teringat cerita petang tadi. Cerita yang aku dengar daripada mulut Aryan masa dekat tapak projek yang membahang. Membuatkan hati aku turut sama terbakar.
KEPALA aku toleh ke kiri bila rasa ada tangan memeluk bahu aku kemas di bawah matahari memancar-mancar ni.
“Kakak, papa pesan esok ada meeting.”
Aryan!
“Aryan jelah pergi. Kakak rasa tak sihat la,” balas aku lemah sambil menadah wajah ke langit.
Berpinau biji mata. Panas sungguh. Lencun rasanya belakang bahu. Banjir wajah aku dengan peluh.
“”Papa ajak kakak. Kata papa kakak lagi pandai dari Aryan,” ujar Aryan lagi.
Aku kalih pada dia dan mencerunkan pandangan.
“Dah tu, kalau kakak dah pandai, papa patut ajak Aryan pergi dengan dia. Belajar apa yang tak reti lagi. Kalau asyik ajak orang yang dah reti, bila masa orang yang tak pandai nak pandai...” sinis aku.
Geram okey. Asyik-asyik aku padahal yang belajar bidang kejuruteraan adalah budak Aryan ni. Bukan aku. Aku baru pasang cita-cita nak jadi macam mama. Hidup dalam dunia sendiri dan keluarga terrsayang. Menulis untuk kepuasan diri sendiri tapi papa tak bagi.
“Dunia glamour macam tu, papa tak suka. Papa tak nak Arya kena kejar dengan maniac. Lepas tu berebut-rebut orang nak bergambarlah, itulah, inilah...” Itulah kata papa dulu masa aku mula-mula suarakan hasrat di hati.
Huh... macam ada bau-bau hanyir ikan di situ. Tapi malas nak bantah bila nenek dan atuk pun tak menyokong.
“Owh...” Bibir Aryan bulat.
Dia menggoyangkan jari telunjuknya di depan aku sambil berdecit.
“Kakak tak boleh cakap Aryan tak reti atau tak pandai...”
“Habis tu nak kata apa?” selar aku menahan hati.
Dengan suara kuat melawan bunyi bising kerja-kerja piling yang baru berjalan semalam.
“Kurang pandai atau kurang reti, lebih molek bunyinya.” Aryan dah mula loyar buruk.
Aku mencemik. “Huh, sama jelah tu maksud dia. Pergi tanya mama betul ke tidak.”
Aryan gelak. “Tak pandai tu a means word la, kak. Kejam tu kata adik kurang pandai...”
Aryan... pandai bercakap. Petah macam papa. Kalau mengayat, memang bagi kat dia. Tapi sampai sekarang tak melekat dengan mana-mana perempuan pun dari dulu. Rasanya yang dekat dengan dia sebab dia ke kampus bawa Mini Cooper, atau kadang-kadang bawa Evo. Tapi semuanya harta keluarga.
“Kalau dah tau means word, Aryan kenalah tukar jadi kind words... okey?” Kening aku terangkat tinggi mencabar Aryan.
Banyak sangat main lepas habis belajar. Konon, nak tunggu serius lepas sambung master. Huh, bila? Hari tu peluang ada dia main-main. Kononnya tak apa. Nenek menyokong. Atuk tak kisah. Papa tak larang. Mama je berkerut sedikit. Tak puas hati.
“Aryan tak sukalah kak kerja-kerja site ni,” ujar Aryan ttiba-tiba jujur pulak dah.
Aku kerling dia. Mencemik sedikit dengan senyuman menyenget.
“Bagi tahu papa nanti.... nak?”
Dia jongket kening dan berjalan beberapa tapak ke belakang. Lari sedikit dari kebingitan kerja-kerja piling ini. Aku ikut jejak langkah Aryan. Rasa macam dia serius tiba-tiba.
“Aryan!” seru aku bila dia terus lagi melangkah.
“Muhamad Aryan!” Dah naik satu oktaf suara.
Dia masih diam menapak ke arah tempat yang teduh.
“Muhamad Aryan bin Mukhlis!” tempik aku dan tiba-tiba saja kerja-kerja piling berhenti.
Okey, aku tahan wajah. Ramai yang sedang pandang aku. Pekerja-pekerja kontrak semua dah pandang pelik. Kenapa bos jerit? Okey, bos tak pernah jerit tapi sebab adik bos yang sorang ni, bos terpaksa jerit.
Aku buat muka tak bersalah dan terus berlari anak mendapatkan Aryan yang dah.... huh, dah elok duduk tempat teduh. Selesa.
“Aryan ni, kakak panggil kemain tak menyahut eh,” tegur aku berjauh hati lalu aku ambil tempat duduk di sisi dia.
Bahu Aryan naik. Nampak sedih.
“Dah Aryan ni kenapa? Kakak tak maksudkan apa-apa pun pasal Aryan pandai ke, reti ke. Kakak nasihat je tu.” Aku peluk bahu dia sedikit.
Aryan tak menepis, sebaliknya dia pegang tangan aku kembali. Kemas. Mata kami saling merenung dan dia senyum serta menggeleng.
“Tahu kakak tak maksudkan tapi Aryan maksudkan tadi... Aryan tak sukalah nak kerja bawah papa. Nak inherit syarikat ni daripada papa. Aryan nak cari harta sendiri. Apa guna Aryan belajar tapi akhirnya Aryan dok bawah papa jugak. Aryan nak merantaulah, kak. Boleh tak?”
Aku jegilkan mata dengan pengakuan Aryan yang aku kira.... berani pitam. Sebab boleh pitam dia nanti kalau papa jerit kalau anak-anak nak bawa haluan sendiri.
“Ohmai...” Aku tekap pipi dengan kedua-dua belah telapak tangan.
“Aryan tak boleh macam ni. Nanti papa marah, padan muka. Tak nak kerja dulu, Aryan pergi belajar lagi. Biar kakak uruskan dulu. Then, once you are ready, I will welcome you here.”
Tapi... Aryan menggeleng. Tak nak jugak.
“Aryan nak buat master dekat luar Negara.”
“Lepas tu ada niat tak nak balik.... nak kerja dekat sana? Macam tu?” tebak aku dan rasa nak demam, bila Aryan mengangguk.
“Mama?”
“Ada papa dan kakak apa,” jawab Aryan pantas.
“Nenek dengan atuk?”
“Ada papa, pak long dan ramai lagi apa?” jawab dia lagi.
Huh, aku rasa nak luku budak ni. Tapi, aku tak mampu sebab aku mengerti perasaan dia. Dia ada minat lain dan aku juga tapi apa kami mampu buat bila papa bertegas tak nak lepaskan kami dengan angan-angan kami?
“Aryan sungguh nak ikut impian sendiri?” tanya aku.
Dia jatuhkan kepala. Mengangguk. Pandang aku dan senyum lagi.
“Impian kakak?”
“Dah lama terkubur...”
“Dan bakal lebih dalam lagi kubur tu digali,” sambung Aryan buatkan kening aku hampir bertaut.
“What do you mean?”
Aku memang dah rasa ada bau hanyir ikan di mana-mana. Sungguh ni tak tipu. Pandangan Aryan dah lain macam. Daripada hal cita-cita dan keinginan dia, dah beralih pada hal aku sepenuhnya.
“Mama suruh Aryan cakap dekat kakak, yang papa kata bila nenek sebut-sebut hal ni lepas tu dapat pulak sokongan atuk, diorang nak...”
Huh, berbelit kepala aku. Sikit lagi otak kanan dan kiri nak bertukar kedudukan. Aryan ni dah buat ayat telefon karat yang pernah aku dengar masa sekolah dulu.
“Nak apa?” soal aku tak sabar.
“Nak kakak kahwin.”
Tiga patah ayat yang terakhir dari mulut adik aku tu buat aku nak rebah ke bumi. Serentak itu bunyi bising kerja-kerja penanaman cerucuk kembali berdengung. Tong... tong... tong....
Tapi, kenapa muzik dia aku dengar...
Kepak... kepak... kepak... kepom... kepom... kepom... kompang dipalu, pengantin baru. Duduk bersanding tersimpul malu.
Apa ni? Ohmai...
BAB 2
KREKK...
Itu bunyi pintu bilik lagi sekali. Serentak dengan suara orang bertanya soalan yang sama dengan mama tanya tadi.
“Arya demam ke?”
Aku tersentak. Hilang suara Aryan petang tadi diganti suara papa. Mama tak kunci pintu. Balik rumah tubuh dah mula suam-suam tapi semua orang diam. Tak berkata apa. Kalau berkata, sungguh aku terbaring dekat ICU.
Aku keraskan tubuh. Konon dah tidur. Tapi, aku rasa papa makin mendekati dan dia duduk di birai katil.
Sebelah tangannya menyentuh bahu aku. “Arya...” Digoncang sedikit.
Aku tetap kaku.
“Aryana?” panggil papa masih lembut.
Aku memisat-misatkan mata sedikit dan berpaling perlahan-lahan.
“Owh papa... kenapa ni?” soal aku dan aku angkat tubuh bersandar pada kepala katil.
Wajah papa aku jeling sekilas.
Dia beriak risau. Dahi dia berkerut dan rambut dia disikat kemas. Apa kaitan dengan rambut pun aku tak tahu tapi sebab itu je yang mata aku nampak.
“Arya demam, ya?” Sekali lagi soalan itu merodok telinga.
Aku angguk. “Sikit je...”
Seperti juga mama, tangan papa naik menyentuh dahi. Kemudian kerutan pada dahi dia bertambah lebat.
Berlapis-lapis macam kek lapis Sarawak.
“Sikit apa macam ni? Banyak ni?”
Eh, banyak? Aku senyum menyenget sedikit dalam hati. Papa timbang atau kira demam aku ni?
“Sikit je, pa... tak ada apalah. Nanti Arya tidur eloklah. Dah telan ubat,” dalih aku bila melihatkan wajah papa kemain serius.
“Jom ke klinik. Siap sekarang!”
Okey, itu arahan papa. Bukan pujukan. Aku kelatkan wajah dan merebahkan tubuh kembali. Tapi, papa menahan. Dia tolak gebar tebal itu ke kaki. Mencucuk kulit aku dengan kesejukan penghawa dingin.
“Papa ni... Arya sejuklah.” AKu mula nak merengus.
Orang dahlah tak sihat. Berita yang Aryan bagi petang tadi terus buat aku collapse. Papa pulak memaksa.
“Kita pergi klinik. Nanti melarat pulak,” katanya lagi.
Tak dapat tidak, aku tegakkan duduk bila papa dah menjerit kuat memanggil anak dia yang sorang lagi.
“Aryan!!!”
Hampir retak gelas lilin wangi aku ni.
“Apa?”
Aryan muncul. Mengah dan kalut. Dia raup rambut dia yang jatuh ke dahi dan mendekati kami.
“Kakak demam sungguh ke?” soal Aryan tak dan papa bersuara.
“Ha’ah... kamu tahu kakak demam? Tak cakap dekat papa?” rungut papa pada Aryan.
Aryan pulak sengih. Dia garu kepala.
“Kakak demam terkejut ni,” ujar dia.
“Terkejut pasal apa pulak?” soal papa pelik.
Aku jegilkan mata pada Aryan. Memberi amaran dalam diam, you better shut your mouth, Aryan. Or I’ll kill you!
Tapi Aryan... dah buka mulut. Nak-nak mama pun baru muncul di depan pintu siap bertudung dah.
“Terkejut kenapa?” Mama pula mengulang soalan papa.
Aku mengeluh. Habis aku. Terus masuk ICU.
“Kan mama pesan suruh Aryan cakap dekat kakak yang papa, mama, nenek dan atuk semua nak kakak kahwin dengan menantu pilihan korang.”
Lancar.
Tiada tersekat.
Jujur.
Dan polos.
Huh, kata-kata Aryan buat suhu badan aku terus naik. Menggelegak kepala. Lelehan lahar dah keluar ikut telinga.
“Pasal tu ke?” Papa beralih pandangan pada aku sepenuhnya.
Dia senyum kemudian tersenyum pada mama pula.
Mama pegang tangan aku. “Arya demam sebab tu ke?”
Aku geleng menafikannya dan tiba-tiba rasa sebu. Rasa nak menangis dan rasa nak meraung kuat-kuat.
Kelopak mata rasa hangat tiba-tiba.
“Sungguh ke?” Sebak aku menyoal mereka.
Mama angguk. Papa mengiyakan dan airmata aku mengalir laju.
Terdiam semua orang.
Kaku suasana.
Bak orang kata, malaikat lalu.
“Arya tak sudi ke?”
Aku tidak memberi sebarang reaksi. Hanya tangan yang bergerak bila mama bantu aku sarungkan cardigan pada tubuh bagi melindungi baju T lengan pendek yang sedia ada.
“Arya kalau tak nak, mama tak paksa. Kan abang?” Mama pujuk.
Tapi hati aku, merajuk.
“Arya nak tidur...” Tiba-tiba aku rebahkan tubuh tapi mama menahan.
“Kita pergi klinik dulu. Tiba-tiba makin panas pulak ni,” keluh mama.
“Kita pergi sekarang, bang,” ajak mama tak dan-dan.
Papa angguk. “Aryan, pergi keluarkan kereta,” arah papa dan Aryan berdesup lari ke bawah.
Airmata aku mengalir lagi. Kenapa ya rasa sebak? Padahal mama dah cakap tak paksa. Habis tu, kenapa aku tetap rasa terbeban? Ke sebelum ni aku tak pernah bantah apa-apa pun kata-kata mama dan papa termasuklah kata-kata nenek dan atuk. Hari ni bila hati aku bagai menolak kehendak mereka yang dikatakan suci lagi murni itu, aku rasa tak sedap hati pulak. Jiwa tak tenang.
“Arya sakit ke?” soal papa bila tengok aku dok menangis.
Teresak-esak you.
Mama dah hanya diam memerhati aku dan papa berkomunikasi. Memang begini. Kalau ada tak kena dengan aku, mama lebih suka biarkan papa yang cakap dengan aku dan bila Aryan yang tak kena, mesti mama pujuk.
“Sakit hati!” tekan aku geram.
Papa sengih. Gigi putih dia terbias di mata. Dia jeling mama dan senyum. Bagai memberi isyarat, mama terus bangkit mendekati almari. Digeledahnya almari aku tak tahulah cari apa.
“Sakit hati tu papa dah jumpa ubat, Arya macam tak nak pulak,” seloroh papa.
“Mana ada ubat? Sebab ‘ubat’ papa itulah Arya sakit ni, tau tak?” Aku dah mula nak merengus.
Kan aku dah cakap, aku ni perengus sikit orangnya. Nak kata garang sangat, tak adalah. Biasa-biasa je. Tapi kalau ada tak kena, memang aku hangin jugak.
“Mula-mula tahu memang sakit hati tapi nanti dah kenal-kenal, dah duduk sama, tak adalah sakit hati...” pujuk papa lagi.
Amboi, senang je dia.
“Papa suka paksa Arya. Papa mesti tak faham macam mana Arya rasa bila tiba-tiba papa dan mama ungkitkan hal nak kahwinkan Arya dan itupun calon dah ada. Siapa tak sakit macam ni?”
Tersedu-sedu aku bersuara. Tapi papa... gelak?
“Gelak pulak?” tegur aku tapi gelak papa tak reda.
Kini ditambah pula dengan gelak halus mama yang kembali mendekati aku dengan sehelai tudung di tangan dia. Huh, cari tudung rupanya.
“Papa gelak sebab lucu. Tapi, papa memang nak aturkan untuk Arya kenal-kenal dulu dengan anak kawan papa tu. Kawan lama. Kawan mama jugak sebenarnya. Eh, sebenarnya kawan mama dulu. Lepas tu baru jadi kawan papa. Kira kawan kamilah...”
Papa pun dah jadi macam Aryan. Terbelit lidah.
“Kalau Arya tak boleh nak get along dengan dia, papa dan mama tak paksa. Kami tak nak paksa anak-anak untuk terima pasangan yang kami carikan. Menderita hati. Bukan papa tak tahu rasa derita tu macam mana. Kan sayang?” Papa angkat kening pada mama.
Aku mencemik. Eleh, apalah yang mama dan papa deritakan tu? Apalah yang mereka faham tentang derita hati ini bila aku lihat tak pernah sekali pun mereka bergaduh. Jangan kata bergaduh, menjeling juga tak ada. Semakin romantis adalah. Sampai nenek dan atuk pun pelik. Diorang baru kahwin ke atau masa tu tak berganjak.
“Papa dengan mama bahagia... mana nak reti perasaan Arya sekarang ni,” keluh aku sambil mengesat sisa airmata di pipi.
Air wajah mama dan papa berubah.
“Arya tak akan faham apa yang mama dan papa pernah lalui untuk kami bahagia macam hari ni. Untuk kami bina kebahagiaan kami dengan adanya Arya dan Aryan,” ujar papa lemah.
Aku gigit bibir. Rasa bersalah pulak dah. Macam ada bau hanyir yang telah dibersihkan tapi mungkin hal lama. Sungguh, selama aku hidup 27 tahun ni tak ada pulak aku tengok diorang bertelagah. Nenek dan atuk juga baik. Pak ngah dan nenek belah mama jugak kemain lembut dan ramah.
Habis tu, bila bercakaunya?
“Mama dan papa tak lalui jalan kebahagian semudah yang Arya sangka. Papa banyak berkorban...”
“Dan mama Arya banyak terkorban,” sampuk papa.
Okey, sudah bertukar drama haru mama dan papa. Bukan lagi hal aku yang bakal kahwin tak lama lagi. Tapi, melihatkan wajah mereka dan aku tanya hati aku sendiri... kenapa aku rasa sedih bila mana mama dan papa tak memaksa, aku dah temui jawapannya.
Sebab aku nak mereka bahagia dengan aku. Untuk bahagiakan mereka aku kenalah bahagia dan untuk aku bahagia adalah melihat mereka bahagia dan bahagia mereka bila aku terima calon tu dan aku akan bahagia dengan calon tu jika mama dan papa bahagia.
Terbelit lagi ayat.
“Papa bahagia kalau Arya kahwin dengan tutt... dalam bracket sebab nama tak tahu lagi tu?”
Bibir mama dah pecah dengan bunga senyum. Papa pun. Dia menggeleng kemudiannya.
“Apalah Arya ni. Tak tahu kenalah tanya tapi kalau Arya bahagia untuk terima dia, kami bahagia. Kan, sayang?”
Aku pandang mama. “Mama bahagia?”
“Kami bahagia kalau Arya bahagia...”
Aku angguk akhirnya. Dan Arya bahagia kalau mama dan papa bahagia. Tapi, ada keluhan kecil pada hujungnya.
“Bolehlah kenal-kenal dulu...,” putus aku akhirnya.
Mama senyum. “Kalau tak boleh jangan paksa diri. Menderita hati nanti,” pesan mama.
Aku angguk.
“Lepas tu?” soal papa.
“Arg.... apa lagi?” Rasa nak menangis dah.
Jangan papa cakap nak tunang esok kahwin minggu depan. Sungguh aku masuk ICU karang.
“Pergi hospital la. Demam makin naik ni. Risau papa,” jawab papa selamba dan dia bangkit membantu aku bangun.
Lemah nak melangkah. Dahlah tak sihat, mulut dah pandai pulak berjanji nak cuba jayalah... konon...
Entah berjaya tau tidak. Tapi, hati aku lebih memberat katakan TAK BERJAYA. Ingat senang nak menyatukan dua hati? Atau jangan cakap sebab aku ini anak pada kontraktor Berjaya Mohd Mukhlis dan anak penulis terkenal, Anahara juga cucu sulung pada keluarga Tan Sri Mahzan barulah tutt sebab nama tak tahu lagi tu nak dekat aku?
Ohmai... mohon jauhkan Ya Tuhan...
LETIH telinga dengar Aryan membebel tak sudah-sudah. Sebabnya, dia tunggu lama dalam kereta tapi kami dok buat drama airmata kat atas. Mama diam saja. Sesekali dia mengusap kepala Aryan.
Aku baru saja keluar daripada bilik rawatan. Doktor ni dah dekat nak balik dah kami sekat. Tapi, kacak pulak pak cik doktor ni aku tengok. Aku pandang pada dinding reception dia.
Klinik ZZ. Ziana Zain? Zenab Zon? Atau...
“Terima kasihlah, Yed. Dah dekat-dekat nak balik ni kami pulak sampai,” ucap papa pada doktor ni.
Doktor yang aku kira muda sikit daripada papa. Doktor Yed itu... eh kejap, aku pandang kad bisnes dia Doktor Zayed. Okey, doktor Zayed itu senyum pada papa sambil berjabat tangan.
“Tak ada apa pun. Zafrina minta balik awal. Dah lama tak makan malam. Kebetulan dia pun cuti hari ni,” jawab Doktor Zayed tenang.
Dia kerling pada aku dan kemudiannya kening dia naik pada papa. Okey, bau hanyir terus menyengat hidung.
“Along ada cakap pasal tu. Sungguh ke?” tanya dia pada papa dan mama yang baru saja mendekati mereka.
Aku jeling sedikit pada mereka. Buat-buat merenung tajam.
“Ha’ah... tapi macam tak jadi je,” cebik mama.
Doktor Zayed ketawa.
“Rina pun ada cakap macam tu jugak dekat along. Macam tak jadi. Tapi kami ni ikut jelah. Mendoakan yang terbaik. Dah tua-tua ni, bagi anak-anak bahagia la pulak, ya tak?”
Amboi hai... pandai pulak Doktor Zayed ni berkata-kata.
“Dan Aryana...” Tiba-tiba berkalih pula pada aku.
“... kena jaga diri. Kata papa Arya banyak dok site... dengan cuaca sekarang tak menentu, ada baiknya Arya jaga diri lebih. Tidur cukup, makan ikut waktu. Kalau uncle mudah je. Payah sangat nak jaga diri kalau sorang ni, uncle suruh bagi Arya hidup berdua. Okey tak macam tu?” soal dia dengan kening yang naik tinggi.
Oh, boleh macam tu? Itu soalan dia. Nak tak nak aku sengih. Merengus karang, mama dan papa bising pulak. Biadap namanya sebab mama dan papa tak pernah ajar aku jadi biadap.
Aku dengar mama sebut along lah, angah lah, Mi lah, Rina lah. Aku kurang ingat nama tu. Yang aku ingat nama Uncle Zaf dan Aunty Resa je. Anak-anak diorang pun dah lama aku tak jumpa lepas aku masuk sekolah asrama penuh dulu.
“Err... Arya tahu jaga diri sendiri, uncle.” Sengih kambing.
Tak tahu macam mana sengih kambing aku pun tak tahu sebab tak pernah tengok kambing sengih.
“Tapi, tak rasa muda sangat ke? Nak ke budak tu dan...” Doktor Zayed terhenti bicara.
Dia mendekatkan bibir dia pada telinga papa. Dan aku apa lagi, pasang telinga jugak nak dengar apa yang dia bisikkan.
“... nak ke Aryana dekat calon lagi muda dari Aryan?”
Hah?
Apa?
Tidak!!!
Aku tak salah dengar. Sungguh aku tak salah pendengaran. Telinga aku sihat lagi. Memang rasa sedikit berdengung sedikit sebab suhu badan kian meningkat tapi mendengarkan perkataan MUDA? CALON? UNTUK AKU?
Ohmai...
“Mama, Arya nak balik.”
Tak sempat mama bersuara aku terus bergegas keluar. Nak ajak Aryan lari luar Negara. Kalau kata dia tak ada duit nak beli tiket, aku rayu nenek dengan atuk dan guna semua duit simpanan aku untuk beli tiket Air Bus 380 kelas pertama untuk dia. Biar aku botak, muflis terus.
“Arya nak pergi mana tu?” jerit papa tapi aku dan buat tak endah.
Cepat-cepat aku melangkah ke pintu bila aku nampak Aryan sedang elok bersandar pada dinding Porshe Canyenne papa. Sekarang dah jadi milik Aryan pun. Seronok nampak dok sedut tin Coke.
Baru aku tarik pintu, tak sempat buat apa, aku dah jatuh terduduk di atas lantai. Sakit yang pastinya. Aku menyeringai dan melangut pandangan memandang susuk tubuh yang aku langgar tadi.
Lelaki yang pasti.
Tinggi jugak.
Dan wajah sangatlah... errr kacak. Kena akui itu sebab hakikat depan mata.
“Sakit?” soal dia sepatah.
Aku diam dan bangkit sendiri.
Bila aku pandang belakang, mama dan papa masih rancak borak dengan doktor tu. Langsung tak sedar anak dah tertonggeng depan pintu klinik ni. Rasa benjol dahi aku. Bila aku raba, tak rasa apa-apa. Kira okeylah.
“Tak ada lebam pun, jangan risau. Masih cantik terletak,” ujar lelaki depan aku ni.
“Terima kasih.” Aku sengih perli dia.
“Klinik dah tutup,” sambung aku selamba dengan kaki yang menapak nak keluar.
“Eh, klinik awak ke ni?” tanya dia menahan langkah aku.
Aku lepaskan pemegang pintu dan berpaling pada dia. Melangut jugaklah dah dia tinggi. Makan apalah dia ni sampai aku pun dekat dagu dia je. Kacang panjang ke apa?
“Ha’ah...” Lagi selamba aku mengaku ini klinik aku yang punya sedangkan tuan punya klinik tercongok dok sembang depan bilik doktor.
Dia senyum segaris. Tipis dan mendatar.
“Kalau macam tu, boleh rawat saya kejap. Saya ni urgent ni, doktor. Sakit perut tiba-tiba. Macam keracunan. Nak ke klinik lain macam tak sempat dah ni. Saya dah rasa berpinau mata ni,” pinta dia dengan wajah cuak dan tangan yang menyeka peluh di dahi.
Aku intai mata dia yang nampak pejam celik pejam celik. Dahi aku berkerut. Menipu lagi kau, Aryana. Kan dah kena.
“Err... maaflah. Encik datanglah esok pagi. Saya kena balik ni. Klinik memang dah tutup pun. Barang-barang nak rawat orang semua dah steril. Tak boleh guna lagi...”
“Kalau saya mati kat sini?” pangkas dia.
Aku mencebir. “Kalau macam tu, marilah keluar. Encik mati kat luar. Jangan depan klinik saya ni. Jenuh saya nak jawab nanti kalau ada yang bertanya. Kalau kat luar, di kaki lima tak apa pulak,” jawab aku saja nak kenakan orang.
Perangai entah ikut siapa pun tak tahu? Papa kot? Mama mana mungkin. Mama selembut-lembut manusia pernah aku jumpa. Senyum je tahu.
“Uih... kejam sungguh doktor ni?” sindir dia.
Tapi, tak jugak dia keluar dari klinik. Aku pun malas nak fikir lagi. Jadi, biarlah dia. Satu perkara aku fikir masa aku sedar aku sedang kenakan dia, lepas ni aku tak jumpa dia dah.
“Kalau macam tu, saya balik dulu, ya?” pinta aku.
“Oh I am so sorry about the incidence. Saya nak cepat. Pakwe dah tunggu,” sambung aku sambil menjuih pada Aryan yang nampak makin segak dan kacak.
Adik aku, kan? Dah kakaknya cantik, adik dia pun tak kalah la.
Lelaki ini memandang aku lain macam. Atas bawah dan bawah ke atas. Dia juga menapak mendekati pintu kaca tersebut bila aku dah sedia nak menjauh dari depan klinik Doktor Zayed.
“It is okay. Tak ada apa. Kebetulan ada di mana-mana,” balas dia sambil menghadiahkan aku sekuntum senyuman.
Kalau you all nak tahu, senyuman bajet buat aku tergoda tapi aku, tidak.
“Thanks...” Aku angkat tangan dan terus berlari anak menuju ke arah Aryan. Bila aku tepuk bahu dia tersedak budak Aryan ni dengan Coke.
Mata aku mencerlung pada Aryan. Aku tahu Aryan tahu siapa calon aku. Dia tahu dan kenapa dia tak nak bagitahu aku.
“Aryan tahu, kan?” Jari telunjuk lurus pada wajah Aryan.
“Err... tahu apa?”
“Huh, kura-kura naik sampan!” Geram dah aku ni.
Kenapalah semua orang macam ni. Kalau macam ni lah teruknya, esok aku balik rumah Tok Mak kat kampung mama.
“Apa pulak Aryan kena? Yang kakak tu ada pakwe tak mengaku?” sindir Aryan.
Habis saja ayat dia aku terus kalih ke belakang dan ya, lelaki tadi berdiri tepat di belakang aku.
“Kakak terjatuh IC ni tadi.” Dia hulurkan kad pengenalan aku.
Ya, memang boleh jadi jatuh sebab aku terjatuh juga tadi dan IC tu ada dalam poket track bottom. Jadi, dia dah tahulah umur aku berapa? Huh... tapi ada aku kisah.
“Terima kasih, ya dik,” ucap aku dengan senyuman plastik lalu aku tarik lengan Aryan masuk dalam kereta.
Tak sempat nak buka pintu pun, papa dan memanggil. Aku pegun. Aryan juga. Tapi, lelaki ini tidak. Dia senyum dan melambai pada mama ke? Atau papa? Atau Doktor... err...
“Pak su nak siap ke?” tanya dia.
Dia berpaling pada aku dan senyum lagi. Siap angkat kening you. Aku tahu dah ni... aku bakal malu sendiri.
“Ha’ah. Ayie dah lama ke?” tanya doktor itu.
Jari telunjuk aku naik tapi tersorok sedikit. Anak buah dia ke? Padanlah...
“Baru lagi. Lepas tu kakak ni terjatuh IC dia. Ayie datang bagi. Tengok-tengok Pak Su dah keluar. Tapi, macam mana aunty dengan uncle ada kat sini jugak? Kau pun Aryan?” soal lelaki ini pada keluarga aku.
Masing-masing diam seketika. Bak kata pepatah karut, malaikat lalu. Aku pandang Aryan. Dia sengih dan pandang ke lain.
Aku jenguk pula mama dan papa. Mereka juga hanya bersalaman dengan doktor itu dan bila mereka mendekati, aku lihat papa paut bahu dia. Ya dia... dia yang dipanggil Ayie.
“Ayie apa khabar. Lama dah tak jumpa. Lepas Ayie pergi oversea dulu terus tak jumpa dah,” ujar papa.
Aku renung mama minta penjelasan. Siapa ni? Jangan katakan...
“Ada je. Busy sikit. Ini pun balik sebab papa suruh. Ada hal katanya,” jawab Ayie.
Aku dah pening. Kepala aku dah nak pecah.
“Papa ada cakap apa-apa ke?”
Ayie senyum dan mengangguk macam dah tahu je apa yang papa aku maksudkan.
“Macam mana?’ soal mama pula.
“Ayie terima mana yang baik je, aunty. Tak kisahlah, kakak ke adik ke...” balas Ayie sambil menjeling pada aku.
“Dan, klinik ni Pak Su saya punya kakak. Mujur kakak bukan doktor kat sini kalau tak, boleh mati keracunan saya kakak garang sangat,” ujar dia berpaling pada aku.
Wajah aku dah merah. Mujur hari malam dan lampu pun hidup segan mati tak tahu je nak menyala. Kalau tak, kalah udang bakar.
Aku mendekati Aryan. “Muhamad Aryan, don’t tell me...”
“Yes, he is,” pangkas Aryan dan aku tiba-tiba pitam.
Pitam sungguh, tak tipu.
BAB 3
AKU rasa renjisan air pada wajah aku. Malasnya nak buka mata. Rasa berpusing dunia yang sememangnya berputar ni. Bila ingat kejadian sebelum aku pitam tu, rasa tak nak bangun dah. Aku harap ini mimpi. Mimpi paling ngeri pernah aku alami dan aku berdoa setelah ini tak ada mimpi pun tak apalah. Janji aku dibangkitkan aku daripada mimpi buruk ini.
“Mama...” Aku panggil nama mama.
Dia menyahut perlahan dan aku rasa mama memegang tangan aku.
“Ya, sayang. Arya pitam tadi depan klinik.”
Huh, sungguh aku pitam dan ini bukan mimpi. Ayie tadi tu? Siapa dengan keluarga aku dan siapa pulak dengan aku?
“Ayie tu siapa, ma?”
Tiba-tiba saja papa gelak. Mama senyum.
“Tengok, yang. Abang kan dah cakap, sedar dari pitam terus tanya Ayie. Papa dah cakap, hati Arya akan terubat bila jumpa Ayie,” ujar papa yakin.
Bukan masalah terubat tapi semakin parah. Papa dah salah faham. Mama pun. Hanya Aryan yang nampak menikus dan buat-buat pandang tablet dia.
“Arya tak nak tahu yang tu. Arya nak tahu yang lain. Dia tu bukan calon yang mama dan papa nak jodohkan dengan Arya, kan?” tanya aku dengan suara yang menahan tangis.
Papa mati tawanya. Mama kelam senyumannya yang seindah suria tadi. Aryan dah letak tablet ke tepi meja kopi di ruang tamu. Mata mereka aku pandang seorang demi seorang. Rasa nak menangis lagi.
“Kalau papa kata ya?” Papa bermain tarik tali.
“Arya tak nak!” Cepat aku menjawab tanpa memikirkan perasaan mama dan papa lagi.
Perasaan aku dah hancur lerai. Ada ke dia nak jodohkan aku dengan lelaki semuda tu? Kalau dengan Aryan pun dikira kawan, dengan aku ni dikira apa? Mama dan papa tak dengar ke dia panggil aku kakak tadi?
“Arya tak nak. Dia lagi muda dari Arya, kan?”
Mama angguk. “Tujuh tahun.”
Hampir tercabut bola mata dari soket dengar mama jawab. Tujun tahun bukan satu usia yang sikit perbezaanya. Sangat besar bagi aku.
“Dia lagi muda dari Aryan,” sampuk Aryan pulak.
“You shut up!” marah aku tiba-tiba.
Mama memujuk, papa merengus.
“Dah Arya ni kenapa? Kan papa dan mama cakap, tak nak tak apa. Kami tak paksa tapi Ayie tu budak baik. Memang muda lagi tapi dia boleh dikatakan sama matang dengan Arya tapi rasanya ada masa tu dia lagi matang dari Arya sendiri,” sinis papa.
Aku ketap bibir. “Dia panggil Arya kakak...”
“Nanti dah sah, nak saya panggil sayang pun boleh...”
Tiba-tiba...
Tiba-tiba lagi.
Dan terus tiba-tiba.
Ada saja suara asing menyampuk.
Cepat-cepat aku berpaling dan ternyata... dia. Berjalan sopan dengan tangan menyeluk poket jeans londeh mendekati ruang tamu rumah kami.
Ayie?
Apa dia buat kat sini? Tengah-tengah malam buta ni? Jangan cakap dia ampu aku sudah. Karang ada yang terbang jadi superman ni.
“Eh, buat apa kat sini?” Terpacul soalan itu dari celah mulut aku.
Kaki aku turunkan ke bawah. Rasa tak sopan pulak berlunjur di atas sofa sedangkan tetamu ada.
“Err... entah...” Ayie jongket bahu.
Dia sengih kemudiannya. “Uncle ajak datang rumah,” jawab dia.
“Papa ajak dia datang buat apa?” soal aku pada papa.
“Aryana... behave sikit,” tegur mama pula.
“Tetamu datang bawak rezeki la, kak,” sampuk Aryan pula.
Menyindir pandai. Simpan rahsia nak kenakan aku juga pandai. Tapi, apa-apa masalah mengadu dekat aku. Dia tak ingat dia ada sorang kakak je dalam dunia ni. Huh...
“Memanglah tapi ini dah malam. Masa orang berehat,” bidas aku sambil menjeling Ayie yang tenang.
Dia menggariskan senyuman. “Saya datang ni nak puaskan hati orang tua saya. Nanti pak su call mama ke, papa ke cakap kakak pengsan depan klinik pak su, mula la mama soal saya macam-macam. Ala... kakak jangan risaulah. Saya tak masuk rumah anak dara orang sesedap rasa. Nak rasa sedap pun tunggulah saya jadi penghuni rumah ni,” jawab Ayie selamba.
Dia kenyit mata pada aku.
Aryan dah bergegar tubuh dia menahan tawa. Mama hanya tersenyum tipis. Papa menggeleng sambil ketawa halus.
“Kamu ni Ayie, tak berubah...,” tegur papa.
Ayie jongket kening dan senyum lagi. Kali ini semanis kurma. Menyihatkan pandangan mata aku.
“Ayie dah banyak berubah, uncle... apatah lagi dapat berita daripada mama dan papa pasal ni...” Dia cebirkan bibir pada aku.
Dia nak maksudkan berita tentang penjodohan aku dan dia? Macam tu? Okey, nampak muka dia macam berat nak terima tapi aku juga bukan ada rasa pun. Rasa geli sikit ada sebab dia macam adik. Tak sikit you, tujuh tahun.
“Dik, kalau rasa berat hati nak terima kakak ni, jangan terima. Jangan paksa diri. Mama dan papa kakak cakap, menderita hati. Buat naya kat diri sendiri. Itu tak okey. Adik boleh balik dan cakap dekat orang tua adik, kakak pun tak paksa adik. Tahu kakak ni dah tua tapi jangan risaulah, cakap dekat uncle Zaf dan Aunty Resa tu. Kakak anggap jelah awak tu adik angkat kakak. Mudah macam tu,” ujar aku tegas.
Aku bangkit. Hilang terus sakit. Rasa nak meletup je ni.
“Mama... papa... dah tengok depan mata, kan? Ayie berat nak terima, Arya pun sama. Anggap jelah dia anak ma dan pa... Arya layan dia macam adik Arya jelah nanti. Bertambah sorang anak ma dan pa, kan?” sambung aku. Sengih kejap lepas tu terus masam.
Mama dan papa terlopong. Aryan juga tapi Ayie, maintain. Senyum seindah bulan purnama di luar sana.
“And you... keep smiling eh. Seronok terima kakak, kan? Me too, seronok ada adik macam you!” sinis aku dan aku terus memasang langkah nak naik ke atas tapi suara Ayie menyekat langkah.
“Saya tak datang sini untuk jadi adik kakak. Saya memang datang sini sebagai calon yang papa dan mama kakak pilih. Apa nak kata... tua sikit apa ada hal, kan? Janji lepas kahwin nanti, kakak tahu hak saya kat mana, hak kakak sendiri kat mana. Okey macam tu?”
Okey macam tu? Kalau aku angkat penumbuk, agak-agak papa jerit tak? Aku menjeling dia yang dah berdiri di sisi Aryan yang kembali sibuk dengan tablet. Takut nak renung mata aku.
Matang.
Perkataan itu berdengung dalam kepala. Ayat papa tadi pun ligat berputar, berulang berkali-kali. Kata-kata dia sangat matang. Saat ini sangat matang. Tapi aku, tak mudah nak percayakan dia matang.
Aryan yang lebih tua dari dia pun masih nampak keanak-anakan lagi bila dengan aku, ini pulak dia yang baru 22 tahun?
Aku tekan kepala. Panas kembali. Tiba-tiba lagi. Mama dah mendekati. Jari-jemari aku dipaut lembut. Diramas mesra dan renungan mama sesejuk embunan pagi.
“Ayie hantar Aryan tadi. Dia ajak Aryan keluar bila mama dan papa bawak Arya balik. Kenapa kasar sangat ni? Kalau betul, dia tu bakal suami Arya tau?” tegur mama lembut.
Aku mencemik dalam tak sedar.
“Arya tak suka dia...”
Muka kedut sana-sini.
“Dah Arya ni kenapa? Umur dah berapa sekarang ni nak buat perangai budak-budak. Buat malu jelah,” gumam mama mula tak puas hati.
Ini baru mama. Kalau papa bersuara, berdarah telinga aku. Dia bukan boleh. Bila aku jenguk papa yang masih berdiri di sisi Aryan dan Ayie, aku kembali tunduk.
Takut.
“Kalau Arya tak nak, kami tak paksa. Ayie pun tak kisah…” sampuk papa.
Tapi… tidak pada Ayie.
“Ayie kisah, uncle. Mama dengan papa dah berharap sangat. Ayie ni siapalah nak hampakan hati orang tua yang susah payah jaga Ayie. Dah kalau diorang rasa ini yang terbaik, haruslah Ayie jugak buat yang terbaik,” sahut dia cukup lembut dan tersusun.
Gila tak? Nampak tak? Ayie punya matang tu. Ini ke yang papa maksudkan tadi? Tapi, payah aku nak hadam umur antara kami. Kenapa orang tua dia pilih aku? Owh, mula bau hanyir lagi.
Papa senyum pada Ayie dan mengusap bahu Ayie lembut. Memujuk. Aryan pun siap menyiku bakal abang ipar muda dia. Huh…
“Macam mana Arya?” soal mama lagi.
Aku geleng.
“Arya…,” keluh mama panjang.
“Tak apa, aunty... janji saya suka sudah. Nanti saya buat dia suka saya,” sampuk Ayie.
Aku rasa hati aku terjatuh dari anak tangga pertama terus ke kaki dia. Serius rasa nak lunyai. Mujur baru retak, tak terbelah lagi. Sempat aku tempek gam gajah bagi lekat balik.
“Err… Ayie ni balik tak lama, aunty… uncle… boleh tak alang-alang dah ada kat sini, Ayie nak minta izin sembang dengan Kak Arya kejap?”
Ayie lembut meminta izin daripada mama dan papa. Serius aku kagum. Terkebil-kebil mata aku tengok keberanian anak teruna orang ni. Dia tahu tak aku ni tua berzaman-zaman daripada dia? Atau dia berhalusinasi tengok orang muda sebab muka aku ni agak kebudak-budakan sikit. Kalau dilihat, ada yang kata Aryan tu abang.
Mama angguk dan papa juga. Pertama kali okey. Ini pertama kali mama dan papa benarkan seorang lelaki berbual dengan aku secara berdua. Ini mengundang dosa, mama dan papa bukan tak tahu.
Papa dah dekat pada mama. Menarik tangan isterinya itu tapi aku laju juga tarik tangan kanan mama. Berebut mama dengan papa.
Kening papa berkerut. Mata dia tajam.
“Arya ni kenapa? Ayie nak sembang tu, kan?”
“Papa nak biarkan kami berdua?”
Papa angguk.
“Tak takut dia apa-apakan Arya?”
Papa senyum sinis. “Dah kata adik, tak kan adik nak apa-apakan kakak dia.”
Sedas kena tembak tepat ke dahi. Papa pulangkan paku buah keras. Aryan bantai ketawa. Mama hanya senyum.
“Kami kat meja makan tu haa… mama buat air dekat papa. Arya sembang dengan Ayie dekat ruang tamu tu je. Depan mata kami. Dah siap sembang, ajak Ayie minum sebelum dia balik,” ujar mama memujuk.
Aku hela nafas lega. Papa ni…
“Tak adalah papa nak lepaskan korang berdua. Darah muda dua-dua. Bukan papa tak pernah muda…” Papa dah mula zon nakal dia bila dia menjeling mama yang tersenyum malu.
Romantik okey…
“Kalau macam tu, okeylah…” Aku angguk.
Tak jadi nak naik ke atas. Sebaliknya aku berjalan semula ke arah seatty. Aryan dan berlari daripada kena cubit oleh aku. Dia pun ikut papa minum air.
Aku pandang Ayie sekilas. Dia senyum dan duduk tanpa aku pelawa.
“Kakak tak nak duduk ke?”
Aku tak menjawab tapi terus je labuhkan punggung di depan dia. Terpisah oleh jarak dua meter dan juga meja kopi.
“Maaf,” ucap dia sepatah.
Aku angguk. “Tapi, untuk apa?”
“Kurang ajar sikit kot tadi,” akui dia.
Aku hanya menceberkan bibir.
“So?”
“So?”
Kami tersentak. Soalan itu sama-sama terpacul daripada mulut masing-masing. Ada bunga tawa yang bakal pecah pada bening pada kuyu milik Ayie. Jujurnya, dalam kepala aku langsung tak ada memori tentang Ayie. Nama dia pun aku tak ingat langsung.
“Saya cakap dulu, okey?” pinta Ayie.
“Erm… cakaplah,” balas aku pendek.
Dia senyum lagi. Killer grin punya tapi aku, malas nak pandang sangat.
“Jujurnya saya tak tahu pasal ni. Saya tak tahu siapa calon saya. Saya muda lagi. masih belajar tapi tak tahu kenapa mama dan ayah nak saya kahwin. Demi diorang, saya setuju dan kalau kakak tak setuju, saya…”
Tap… aku ketik jari dan senyum.
Ayie nampak tersentak. Kening lebat dia berkerut.
“Tahu dah… awak nak cakap, kalau kakak tak setuju awak pun tak setuju, kan?” duga aku.
Ayie terkebil-kebil menelan liur. Dia usap sedikit kesan cukuran pada wajah dia. Nampak jantan dengan sedikit kesan hitam begitu.
Kemudian, dia senyum sebelum berkata.
“You got me wrong, kakak. Saya tak ada niat nak kata macam tu pun. Saya nak cakap tadi, kalau kakak tak setuju pun, saya akan buat kakak sampai setuju.”
Aku rasa nak pitam lagi sekali dan kali ni, tak nak sedar dah. Terkejut amat dengan pengakuan Ayie. Dia sedar tak ni? Dia jaga ke lena ni?
Aku bongkokkan sikit badan ke depan. Ayie juga.
“Awak tak sedarkan diri, ya?”
Ayie geleng.
“Jalan dalam tidur eh?”
Ayie geleng juga. “Dah dok sebilik nanti, kakak tahulah saya jalan dalam tidur ke tak?”
Owh… kaki mengayat tak menahan. Aku ketap bibir.
“Awak kan dah setuju nak jadi adik angkat kakak?” pancing aku lagi dengan harapan Ayie ni tukar fikiran.
Patutnya dialah tolak aku yang terlebih matang dari dia ni.
“Eh, saya tak cakap…. Kakak yang angkat saya jadi adik angkat tapi saya nak angkat diri saya sendiri jadi suami kakak.” Dia sengih lagi.
Dan aku… tersandar lesu sambil menjeling mama, papa dan Aryan yang kononnya minum tapi nampak sangat leher panjang dok intai kami.
“Ini bukan hal main-main, Ayie…”
“Saya tak main-main. Saya balik dari jauh bukan untuk main-main,” ucap Ayie pada aku.
Terus aku kehilangan kata.
“Dah nanti jangan tak mengaku isteri sudah…”
“Jangan kakak tak mengaku saya suami sebab saya muda sudah,” balas dia pula.
Aku merengus geram. Ayie ketawa kecil dan tunduk ke permaidani sebelum panggung kepala memandang aku semula.
“Kakak nak naik rehat. Jumpa awak esoklah…” Aku dah beri arahan.
Seraya itu aku bangkit dan dah sedia nak naik atas. Ubat demam dan selsema yang doktor bagi tadi dah mula memberi kesan nampaknya. Aku dah mula mengantuk amat.
Ayie juga bangkit dan seperti biasa, dia seluk tangan ke dalam kedua-dua belah poket jeans londehnya.
“And make sure pakai seluar jangan macam nak tanggal pulak,” tegur aku sambil menjeling seluar dia.
Ayie sengih. “Jangan risau. Seluar ni tak tertanggal sebelum waktunya.”
Huh, aku kerut kening dan menjeling dia. Usikan dia senakal wajah dan lirikan dia. Tapi usikan menyebalkan hati. Ini mama dan papa pilih untuk aku? Ohmai...
“Behave sikit eh,” tegur aku.
“You too… behave sikit nanti. I am your husband to-be even I’m younger than you,” balas dia juga sedikit pedas.
Bibir aku senyum. Senyum plastik.
“Kira deal eh?” soal Ayie baru saja aku nak pasang langkah.
“Deal apa?” soal aku malas.
“Kahwin?”
Eh, tak sabar budak ni. Muda-muda dah gatal ke?
“Kenal-kenal dulu…”
“Kenal lepas kahwin la mudah,” desak dia sedikit.
Aku mencerun pandang. “Dah tu nak kahwin minggu depan? Macam tu?”
“Deal…” Bibir Ayie tersenyum lebar.
“So, tunggu Zakhri Adha datang eh, kakak,” sambung dia dan terus berlalu ke arah yang lain sambil melirik penuh… jengkel.
BAB 4
ZAKHRI ADHA BIN ZAFRAN!
Ohmai... kenapalah nama itu menghantui kepala aku. Kerja pejabat satu pun tak bersentuh. Mama dah larang tadi daripada ke pejabat dan papa pun tak bagi aku masuk kerja. Memang badan tak sihat lagi tapi memikirkan perkara ‘adik’ aku tu, lagilah buat aku tak sihat.
Mana mungkin aku berkurung di dalam bilik seharian dan mengingati setiap lirikan nakal dan kata-kata yang kononnya matang itu daripada Ayie. Bila aku ingat balik, barulah memori itu kembali sedikit demi sedikit.
Aku dah besar masa tu bila Zakhri Adha lahir. Cuma tak sangka, masa tu dia lagi kecil dari aku dan kini, dia lebih tinggi, lebih tegap dan sasa. Bila aku di sisi dia, rasa kerdil sungguh.
Aku pegang tulang selangka. Tak adalah kurus tapi tidaklah gemuk. Cumanya sekali kena pelempang dek tangan kasar Ayie tu, mahu aku melekap ke dinding jadi spiderwoman. Huh...
Kononnya nak sibukan diri dengan kerja pejabat tapi satu apa pun tak masuk kepala. Kertas-kertas laporan yang berselerakan pun aku pandang sepi. Tak tahu nak jamah mana satu.
Jam di dinding aku kerling lama.
Sesaat... dua saat. Aku pejam mata.
Ding!
Itu bunyi jam sekali menandakan tepat pukul satu. Pukul satu yang membawa maksud waktu makan tengah hari dah tiba dan waktu ‘temujanji’ aku juga tiba.
Ohmai... apa kata budak pejabat nanti kalau diorang tahu siapa Ayie tu pada aku. Tidak ke malu atau boleh jadi diketawakan dan kredibiliti aku sebagai seorang bos dipersoalkan? Oh... kenapa papa dan mama, nenek dan atuk tak fikir semua ni?
Atuk dan nenek, tak risau ke status Tan Sri dan Puan Sri dia dipertikaikan bila cucu sulungnya dinikahnya dengan lelaki yang begitu muda?
“Ya Allah... ini ke kesudahan hamba?” Aku menggumam dengan wajah menyungkur ke meja.
Rasa nak hantuk dahi tapi kesan terlanggar pintu kaca semalam masih terasa. Buat sakit sendiri sedangkan hati aku ni masih tak terubat.
“Tak sudah lagilah...”
Pling... Aku buka mata laju-laju.
Tapi, kenapa berat nak angkat bila aku dengar suara itu menegur. Aku rasa nak menangis ni. Macam mana dia boleh masuk? Tak ada ke Juita, cik setiausaha aku tu kat luar sana? Biasa Juita kalau nak makan, dia bagitahu aku dulu tapi ini tak ada apa pesan tengok-tengok...
“Kenapa tak ketuk dulu?”
Ayie. Aku pandang dia. Wajah dia. Senyuman dia dan bening matanya serta penampilannya. Masih biasa pada pandangan mata aku. Masih gaya budak-budak remaja dengan kasut bertali banyak, jeans lusuh yang terlondeh sedikit, baju T berkolar warna biru cair juga rambut yang sudah agak panjang.
“Lama betul pandang saya? Rindu ke apa?” Dia menegur bila aku ralit memerhatikan dia.
Aku terngadah. Terkena batang hidung sendiri bila ralit meneliti penampilan Ayie. Tapi, sempat aku mencebirkan bibir dan menggeleng sebelum memandang diri sendiri.
Gaya aku? Juga biasa tapi kemas dan bersih. Tidaklah menjadi hamba fesyen, janji berkenan di hati dan mampu aku miliki, aku akan dapatkan.
Hari ini? Hanya blouse lengan panjang, punyai taburan manik di bahagian dada, labuh melepasi punggung, seluar kain kapas yang separa buku lali berwarna krim dan dipadankan dengan selendang biru gelap, memberi kontra pada seluar dan baju.
Berbeza, kan?
“Kan dah cakap, jangan pakai seluar lusuh,” tegur aku malas.
Kerusi aku pusing dan aku pandang ke luar cermin sepenuhnya. Menghidangkan mata aku dengan pemandangan puncak KLCC yang berdiri gah. Tanda kehebatan Malaysia.
“Ini je seluar yang saya ada dan percaya tak, saya dah tak basuh seluar ni dah dekat dua tahun. Selama saya dekat oversea saya tak basuh tau... nampak season, kan?”
Tak sedar, bila Ayie mendekat dia dah bersuara di belakang aku. Cepat-cepat aku pusingkan kerusi. Terkejut beruk aku dengan kata-kata dia. Pengakuan pelik. Sepelik orangnya.
“Awak ni... errr...” Gagap jugak aku nak sebut perkataan itu.
“Apa?” sergah Ayie.
“Pelik.”
Ayie ketawa halus dengan jawapan aku. Ya, dia memang pelik. Semuanya pelik. Bukan tak ada perempuan lain. Tapi, kenapa aku? Tak mungkin sebab niat orang tua dia je. Tak ke aneh. Ini dunia apa? Bukan zaman batu atau zaman ibu mertuaku.
Dan juga, tak mungkinlah...
Tiba-tiba, timbul satu keraguan dalam kepala aku ni. Aku dekatkan wajah sendiri pada wajahnya. Ayie pun sama. Mesti ikut sama perbuatan aku.
“Awak tak sayang awek yang dah ada ke?”
Dia sengih dan angguk.
“Habis tu? Tak risau dia kecewa?” tanya aku lagi.
Ayie diam. Aku berdecit. Kembali menyandarkan tubuh pada belakang kerusi dan menghela nafas tenang sebelum menyambung.
“Tak elok tau buat anak dara orang menangis, sedih... nanti satu hari Tuhan balas dekat awak, baru awak tahu langit bawah atau bumi ni kat atas.”
Perumpaan aku dah tak betul tapi biarkan Ayie kerut dahi sikit.
Tangan Ayie sudah meliar. Semua barang di atas meja aku disentuhnya. Tak cukup dengan keyboard dan mouse yang ada di atas meja, dia tarik tanda nama aku yang terletak kemas di depan mata.
“Aryana binti Mohd Mukhlis?” Keningnya naik dan matanya merenung aku. Tunak.
Aku angguk. “Ya, saya...”
“My wife to-be... soon. Very soon,” tambah dia.
Aku terbatuk kecil. Penangan budak Ayie ni seluruh hidup aku mula kelam-kelibut. Rasa kena tibai dek puting beliung. Rasa kena langgar oleh garuda. Dalam dada macam kena palu sekuat-kuatnya.
“Ayie, cut all this crap... let us be frank to each other. Okay?” tanya aku sambil mengangkat ibu jari pada dia.
“What crap?” soalnya tenang.
“Kita tak ditakdirkan untuk bersama. You know that deep down in your heart, don’t you?”
Kepalanya digelengkan tanda tidak setuju dengan kata-kata aku.
“So, kakak suruh saya datang ni nak bagi saya dengar yang kakak fikir rancangan parents kita ni, mengarut? Tak boleh diterima akal? Macam tu?”
Tak menjawab soalan aku, dia menyoal. Huh... tangannya sudah memusing-musing sebatang pen di hujung jari dan itu pen mahal aku. Pen pemberian atuk dan nenek bila aku pertama kali duduk di kerusi ni dulu.
“Kakak tak kata mengarut ke apa. Tapi, kakak rasa awak sendiri ada life awak dengan kawan-kawan...”
“Sampai bila nak berkawan?” cantas dia.
Aku mengeluh. “Let me finish my line first, okay?” Mata aku jegilkan dan Ayie mengangguk.
“Awak muda lagi. Sangat muda nak dibandingkan dengan kakak. Tengok... awak panggil kakak, kan? KAKAK,” tekan aku sebelum menyambung.
“Awak baru nak mula hidup, Ayie. Baru nak kenal dunia. Awak mesti nak bebas tak nak terikat...”
“Tapi, saya yang nak diikat,” pangkas dia lagi sekali.
Aku tahan hati. Nafas aku sedut dalam-dalam mencari kekuatan nak hadap budak matang ni.
“Ayie, please... kalau betul awak nak diikat, kenapa dengan kakak? Kan awak ada awek sendiri? Tak sayang awek? Atau saja nak main-mainkan hati perempuan lain? Awak tak berani nak tolak kehendak parents awak, biar kakak cakap dengan diorang. Okey macam tu?”
Mencanak naik angin lintang aku menghadapi ketenangan Ayie. Semalam memang aku rasa dah setuju tapi bila dah tidur, bangkit balik ternyata aku tak setuju. Memang tak setuju dua ratus peratus. Noktah.
“Saya nak diikat dengan kakak. Salah ke? Tak berdosa, kan? Lagipun,girlfriend tu ramailah. Special tak ada...” Senangnya dia memberi alasan.
“Dah tu girlfriend tu bukan teman wanita?”
Tap... giliran dia pula ketik jari. Tubunya menegak. Dia labuhkan sikunya di atas meja aku.
“Kakak betul di situ tapi salah pemahaman. Girlfriend tu memang teman wanita dan kalau kakak nak tahu... saya bagi tahu. Kot-kot la kakak tak tahu, kan?” Kening dia naik dua-dua belah. Perli.
“Boyfriend pulak adalah teman lelaki. Saya ada kedua-duanya tapi yangspecial, yang bermaksud istimewa tu tak ada. Boleh saya minta kakak jadi yangspecial tu?”
Nak menangis dah aku dengar loyar buruk Ayie ni. Siapa cakap dia matang? Dia tak matang. Dia kebudak-budakan dan suka kenakan aku .
“Can you pay may some respect, my dear Zakhri Adha?” soal aku cuba berlembut.
Mama kata perempuan ini fitrahnya lembut. Biarkan kelembutan itu menjalar dalam ketegasan. Biar kita tak mudah ditindas, tapi mudah dilentur.
“Dear? Who? Me?” tanya dia dengan suara dan wajah teruja sambil menepuk dada sendiri.
“Yes... ada orang lain lagi ke dalam bilik ni selain daripada awak?” tanyaku sinis.
Ayie melebarkan senyuman pada bibirnya yang nampak merah basah. Berkerut dahi aku cuba mengingati wajah kedua-dua orang tua dia. Entah perangai siapalah dia ikut. Andai benar kami berjodoh, anak-anak kami nanti janganlah ikut perangai miang dia. Tak sanggup aku.
Eh, anak? Ya, aku sebut tentang anak. Adakah bermakna aku benar-benar dah bersedia nak punyai adik dalam bracket ini? Ya Tuhan... tunjukkan jalan yang benar.
“Maknanya, kakak dah setuju nak cuba jaya?” soal dia.
“Kalau kakak tak setuju, awak boleh balik sekarang? Tinggalkan kakak sendiri?” tanya aku kembali.
Ayie menggeleng. “Saya tunggu sampai kakak setuju.”
“Huh... dah tu? Terpaksalah setuju...,” jawab aku meleret.
Ayie sengih dan terus sengih. Kena sawan sengih gamaknya. Boleh jadi nanti rahang dia cramp, jangan minta aku tolong hantar hospital sebab otot kejang.
“Jangan dok sengih lagilah. Karang jammed otot tu, padan muka,” cemik aku.
Lepas gelak Ayie. Gelak lelaki dengan suara kasarnya. Tapi jujurnya, pertama kali melihat dia semalam, tak rasa dia muda. Gaya dan penampilan dia benar-benar nampak matang. Cumanya agak sememeh. Jiwa masih muda.
“Kalau macam tu, kita mula langkah pertama, okey?”
“Silalah melangkah. Itu pintu.” Bibir aku terjuih pada pintu yang sedikit terbuka.
Ayie kerutkan kening. “Sama-samalah, kak...”
Aku jongketkan bahu. Apa-apa jelah, Ayie. Malas nak layan karenah dia. Mengalahkan Aryan aku rasa. Kalau Aryan sekali aku kata tidak dia dia terus merengek, terus aku jeling dan dia pasti diam mengalah.
Ini Ayie. Zakhri Adha. Anak pada keluarga kawan mama dan papa. Menantu pilihan keluarga aku untuk aku yang dah berumur ni.
“Jomlah. Ingat semalam ajak saya jumpa nak makan tengah hari dengan saya?” tanya dia dengan suara merajuk.
Aku jongketkan bibir sebelah.
“Merajuk?” soal aku ringkas.
Dia angguk dan menunduk ke bawah dengan mata menjeling aku sesekali. Kononnya nak nampak manja.
“Geli ar...”
Tawa Ayie pecah. “Saya bukan budak-budak nak merajuk. Bukan jugak perempuan. I am a man. MAN!” tekan Ayie takut-takut aku tak tahu dia ni lelaki.
Huh...
“Lunch sama. Boleh mula langkah pertama berkenalan ke, apa ke. Nak mesra-mesra tak sampai masa lagi...,” ajak dia bersama bersama sengihan menakutkan.
Aku panggung kepala, mendongak ke atas. Nak intai kepala Ayie ni dah tumbuh tanduk ke belum dan ternyata belum. Pheww... nafas lega dilepaskan. Risau.
“Awak belanja kakak,” suruh aku lantas aku gapai beg tangan dan terus menapak keluar tanpa mempedulikan dia.
Baru saja kaki aku melepasi pintu selangkah, muncul Juita dan beberapa orang staf yang lain. Masing-masing terhenti langkah kakii bila aku terpaku di situ. Terkejut.
Kepala aku menoleh ke belakang seketika dan ternyata, Ayie sedang merapatkan daun pintu bilik pejabat aku.
Ohmai... apalah yang diorang nak fikir pasal aku nanti. Rasa nak merayu pada semua orang yang aku tak bersalah. Ini pertama kali. Pertama kali lelaki datang waktu makan tengah hari. Biasanya pelanggan je. Tak pun aku dan Aryan atau papa. Ini... dia.
“Errr... awal balik?” soal aku dan mengerling jam di pergelangan tangan kiri.
1.30 petang. Bertekak dengan Ayie sampai setengah jam juga. Tapi ternyata, kelembutan dalam ketegasan aku ni tak mampu nak buat dia mengalah. Tapi, aku pulak yang tertewas.
“Tak makan pun, cik. Saja pusing-pusing bawah mall ni je.” Juita senyum. Yang lain juga sebelum mereka duduk di tempat masing-masing.
“Oh...” AKu angguk beberapa kali tanda mengerti.
Terus kehilangan kata. Biasanya aku petah juga dengan mereka tapi disebabkan Ayie yang dah berdiri di sebelah aku, aku kelu. Terkedu.
“Err... baru nak keluar makan dengan kawan ke, cik?” soal Rohayu pula.
Kerani kewangan di sini. Senyuman dia nampak lain macam. Aku juga terasa janggal.
“A’ah tapi ini bukan kawan. Lebih pada a...”
Tak sempat aku tamatkan ayat aku tu, Ayie dah bersuara terlebih dahulu. Menyampuk perbualan aku lagi.
“Hai...” Tangannya dilambai beberapa kali.
Diorang ni pulak, ringan tangan membalas lambaian Ayie.
“Saya Ayie. Tunang Aryana.”
Aku ketap bibir dan memejamkan mata. Dia dah up-gradekan status antara aku dan dia. Baru kenal semalam, terus dia rasa diri dia boleh jadi tunang aku.
Ohmai... apa awak buat ni, Ayie?
Dia aku jeling tajam. Memberi amaran tapi dia tenang merenung soerang demi seorang staf aku yang ternyata dengan muka terkujat.
“Err... tak pernah tahu pun?” sela Juita.
Aku senyum bila bola mata aku dan Juita berlaga. Kemudian tunduk kembali. Nak tengok drama apa yang Ayie nak lakonkan nanti.
“Owh... baru balik dari oversea dua tiga hari ni je. Ini pun seminggu dua je. Tak habis belajar lagi kat sana. Balik nak up-gradekan Cik Aryana ni jadi Puan Aryana,” jawab dia sambil melirik pada aku.
“Yelah, tak pernah tahu Cik Aryana dah bertunang?” tanya Rohayu pula.
Aku sengih. Mati kutuk, kering kontang idea.
“Eh, tak apalah tak tahu. Kami memang tak nak orang tahu. Bertunang je pun. Elok disimpan. Kalau dah nikah nanti, wajib kami hebah-hebahkan untuk mengelakkan fitnah. Betul tak?” Ayie angkat kening pada mereka.
Huh... boleh tahan juga dia menjawab. Selamat aku buat masa sekarang ni. Biarpun aku tak pernah mendengar mereka kecoh tentang status aku yang masih bujang, tapi rasanya mereka pasti pelik kenapa aku masih sendiri. Hari ini biar mereka tahu yang aku sudah diikat biarpun dengan kadar segera.
Tiba-tiba rasa nak senyum manis pada Ayie dan ucapkan terima kasih berjuta kali sebab selamatkan aku dengan jawapan yang matang dan bernas.
“Nanti, majlis tu kami jemputlah, ya?” sambung Ayie.
“Kami pergi makan dulu. See ya?”
Sempat dia lambai pada mereka semua sebelum kami menuju ke pintu keluar dan terus kepada pintu lif.
Pheww... nafas lega terhela lagi bila kami sama-sama dalam perut lif.
“Thanks,” ucap aku lega.
“What for? Kakak mungkir janji!” tekan Ayie tanpa memandang aku.
Aku kerutkan dahi. “Apa yang mungkir? Ayie yang tipu diorang, kan?” tekan aku mula rasa hangat dalam dada.
“Kata tak nak cakap saya ni adik depan orang ramai tapi tadi tu...” Bibir dia muncung.
Kali ini tak tahu kenapa, aku tak boleh nak rasa menyampah. Tiba-tiba rasa lucu memandang dia yang berwajah kelat. Mana pergi matang dia? Atau selama ni matang itu dibuat-buat saja.
“Dah memang kita tak ada apa-apa hubungan lagi. Awak macam adik kakak je. Macam Aryan tu haa... tapi awak lagi muda. Tentulah kak bagi tahu awak adik. Tak kan nak cakap awak suami pulak?” selar aku dalam kelembutan.
Biar dia rasa sedikit terhiris.
Kepala Ayie menoleh pada aku. Dia angkat kening tinggi. Bagai mencabar.
“Okey kalau macam tu... semalam kakak ada deal dengan saya, kan? Sebelum saya balik belajar kita nikah. Senang nanti, kakak tak ada alasan lagi nak kata saya adik ke apa ke? Boleh cedera jantung saya,” bebel Ayie lalu dia keluar dari perut lif yang sudah sedia ternganga pintunya di ruang legar.
Ohmai... Ayie?!
Kenapa suka buat aku terlopong macam ni? Ayie... hati aku menyeru dia minta dia berhenti melangkah dan berpaling.
Sungguh, dia mendengar dan dia kalih. “Ini bukan main-main atau cubaan. Ini betul-betul punya permintaan. Deal is a deal. You promised me last night,” sambung dia dan terus saja dia menonong melangkah.
Apa yang terkesan di mata aku adalah, senyuman sinis dia.
Yang lain,, sambung laen kali ye!! nantikan!!
No comments:
Post a Comment